marah?cinta?benci?
MARAH KERANA CINTA, BUKAN KERANA BENCI…
Oleh: Pahrol Mohamad Juoi @ www.fitrahperkasa.net
Saya
masih ingat sikap `unik’ (aneh) sesetengah orang-orang tua kampung
dulu-dulu. Ruang di bawah rumah mereka selalunya diperuntukkan untuk
meletakkan barang usang yang `kurang’ atau tidak perlu. Selalunya
botol-botol, tin-tin atau papan-papan buruk. Entah kenapa semua itu
tidak dibuang. Hanya di letakkan begitu sahaja. Diguna tidak, dibuang
pun tidak. Peliknya, apabila barang-barang `antik’ itu hendak diambil
oleh orang lain, cepat-cepat pula mereka melarangnya. Tak boleh – nak
guna, sayang, dan macam-macam alasan.
Itulah
sebuah analogi yang terlintas di fikiran bila saya ditanya tentang
kemarahan umat Islam terhadap penyiaran karikatur menghina nabi
Muhammad s.a.w oleh akhbar-akhbar Eropah khususnya Denmark.
"Encik tidak marah?" tanya seorang siswa sehabis sahaja majlis diskusi tentang topik berkenaan.
"Marah," akui saya perlahan.
"Tak cukup begitu sahaja. Esok kita berarak, bakar bendera Denmark!"
Saya senyum.
"Kita ada cara yang lebih baik. Ada senjata yang lebih hebat. Doa," balas saya.
"Kita kena tunjuk kemarahan kepada mereka yang menghina Rasul."
"Menunjukkan kecintaan kepada Rasul lebih utama."
"Marah itulah tanda kecintaan kita…"
"Betul. Tetapi membuktikan kecintaan dengan mengamalkan sunnahnya jauh lebih utama."
"Encik takut?"
Saya renung matanya.
"Mengamalkan
sunnah Rasul memerlukan lebih keberanian… Tentangannya lebih hebat.
Bahkan daripada orang Islam sendiri," tusuk saya perlahan.
"Kita bakar bendera mereka!"
"Kita `bakar’ cara hidup mereka. Itu lebih relevan."
Giliran dia pula yang diam. Mungkin siswa yang `terbakar’ ini mula mengunyah maksud kiasan saya.
Lalu saya ceritakan analogi awal tadi. Alhamdulillah, dia mendengar teliti.
"Kita
dengan sunnah, seperti orang tua-tua dahulu dengan barang-barang usang
di bawah rumah. Nak digunakan tidak, nak dijunjung jauh sekali, tetapi
bila ada orang lain nak mengambilnya, barulah heboh konon nak
digunakan."
"Bagaimana kita hendak tunjukkan perasaan marah?"
"Demontrasi
depan manusia. Depan Allah, kita berdoa. Kita muhasabah, sejauh mana
kecintaan kita kepada Rasul-Nya. Mungkin provokasi Barat membawa
pengajaran tersirat."
"Pengajaran tersirat?"
"Ya, tersirat dari Allah… agar kita menilai semula benar-benarkah kita mencintai sunnah Rasul-Nya selama ini."
"Kemarahan ummah inilah buktinya," ujarnya bersemangat.
"Kemarahan
cuma bermusim. Hanya luapan sentimen berkala. Namun kegigihan,
kebijaksanaan, perancangan dan ketabahan jangka panjang amat perlu."
"Maksud encik?"
Jelas dia terpancing dengan kilasan dan kiasan kata-kata.
"Jangka
panjang, sudahkah kita mendidik generasi muda mencintai Rasul dan
keluarganya? Saya risau generasi muda yang mabuk hedonisme kini tidak
akan punya kemarahan yang sama seperti yang saudara alami."
"Saya ada kawan-kawan sebaya yang hidupnya lintang pukang, tapi masih marah bila Rasulullullah dipersendakan. Mereka akan turut berarak esok!"
"Hidup lintang-pukang? Macam mana tu?" tanya saya minta kepastian.
"Rock habis. Sembahyang tidak. Bergaul bebas biasalah… tapi cinta mereka terhadap Rasul tak luntur."
"Ajak
mereka sembahyang dulu. Tak berarak pun tak apa. Cinta dulu, marah
kemudian. Bila ada cinta, pasti ada marah bila kecintaan dicela. Tapi
kalau marah saja, belum tentu ada cinta… "
Dia diam lagi. Kali ini diamnya lebih panjang.
"Agaknya orang tua tu marah tak kalau kita ambil barang-barang berharga di atas rumah?" tanyanya tiba-tiba.
"Orang tua mana?" tanya saya semula. Hairan.
"Orang tua dalam analogi encik tadi itulah!"
"Soalan tu kurang umph," gurau saya.
"Habis soalan apa yang umph?"
"Agaknya orang berani tak hendak minta barang di atas rumah? Berbanding barang usang di bawah rumah?" balas saya.
Termenung
lagi dia. Seronok rasanya `membimbing’ siswa ini berfikir. Terimbau
luapan semangat saya sewaktu di kampus dulu. Beginilah pola berfikir
saya. .
Tiba-tiba dia bersuara, "tentu tak berani, kerana barang di atas rumah tentu lebih berharga."
"Begitulah
sunnah, jika dihayati, diamalkan dan diperjuangkan. Ia nampak sangat
berharga di tangan pencintanya. Musuh tak kan berani mengusiknya,
apalagi nak menghinanya…"
"Encik ni, tak sangka ke situ pula kiasannya."
"Kita
orang Islam mesti menghormati diri sendiri terlebih dahulu, barulah
orang lain akan menghargai kita. Justeru, jika kita marahkan musuh yang
mengecam Rasul, marahkanlah juga diri kita yang tidak benar-benar
mencintainya!"
"Dan…
bukti cinta amalkan sunnah Rasul. Itulah cara paling berkesan
mempamerkan `kemarahan’ kepada musuh-musuh yang menghinanya."
Alhamdulillah, saya yakin, kini marahnya kerana cinta bukan kerana benci. Dominasi cintakan Rasul bukan emosi bencikan musuhnya!
February 19th, 2006 at 5:08 pm
i agree with this article. isn’t it all too true, to practice the REAL islam with all its teachings from the Prophet, Quran and hadeeths are far more challenging than any other contemporary challenges in the muslim world including petty politics? It has been so long the Muslim world was silent when Afghanistan, Palestine and Irag was invaded.. Where are the demonstrations and boycotts now?? Is it all just a passing phase?? and well Islam is not a passing phase, it is a way of life..for life..